Pagi ini (Jumaat, 1 Muharram 1431H)aku sempat mendengar siaran langsung di Radio IKIM.fm. Rancangan kali ini dihadiri oleh tetamu istimewa, malang sekali aku kurang pasti siapakah tetamu tersebut. Tetapi, apa yang pasti, tetamu itu adalah seorang alim ulama dari Madinah. Beliau dijemput khas bersempena sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini. Rancangan pagi ini agak eksklusif kerana para pendengar berpeluang berinteraksi dengan ulama tersebut dengan bantuan seorang penterjemah yang sangat cekap menterjemahkan Bahasa Melayu ke Bahasa Arab dan sebaliknya. Aura yang dirasakan ternyata berbeza. Walaupun hanya mampu mendengar suara ulama tersebut, namun hatiku sudah cukup tersentuh dengan keperibadiannya. Ternyata ulama ini memiliki peribadi yang unggul, jelas terpancar melalui gaya bahasanya dan lenggok suaranya yang lembut dan halus dalam menasihati dan menjawab persoalan-persoalan yang diajukan kepadanya. Hakikatnya, apa yang disampaikan sebenarnya sudah pernah didengari sebelum ini, tetapi entah kenapa lain pula bunyinya apabila ianya disampaikan oleh ulama ini. Gaya bahasa yang halus yang digunakan oleh penterjemah juga sedikit sebanyak membuat para pendengar terpegun dengan kata-kata nasihat dari Syeikh Madinah ini. Aku sangat tersentuh dengan cara penyampaian syeikh yang sangat merendah diri dan membesar-besarkan Allah dalam setiap ucapannya. Ada salah seorang dari pemanggil yang seperti kurang bersetuju dengan kenyataan syeikh, pandangan pemanggil ini juga benar tetapi cara penyampaiannya agak emosional menyebabkan aku kurang senang mendengarnya. Kemudian syiekh memberi respon kepada pemanggil tersebut dengan kata-kata yang penuh dengan kasih saying dan penuh hikmah. Diterangkannya akan kelebihan dan keindahan khilaf di dalam agama. Syeikh juga berpesan agar kita tidak memandang manusia dengan pandangan syariat, kerana jika begitu kita akan membenci manusia itu, tetapi pandanglah dengan pandangan hakikat, maka kita akan mampu menyayangi semua orang dan saling menasihati. Syeikh juga mengingatkan para ulama dan pendakwah yang lain agar menyeru kepada Allah, bukan menyeru kepada diri sendiri, sampaikanlah dakwah agar Allah mempercayai kamu, bukan supaya masyarakat mempercayai kamu. Bergurulah dengan ulama yang beramal, bukan ulama yang beku... Sayangilah Allah, Rasulullah, ahli keluarganya, para sahabat dan pejuang-pejuang agama Allah....Segala Puji Hanya Bagi Allah.. kata-kata syeikh ringkas tetapi padat dan penuh makna
Walaupun tidak kenal siapakah syeikh ini, namun aku sudah rasa begitu sayangkannya kerana keperibadiannya yang sangat indah. Kemudian terdetik di hatiku, ini baru syeikh dari Madinah, umat Nabi Muhammad s.a.w yang tidak pernah berjumpa dengan Baginda, belum lagi Rasulullah s.a.w...Subhanallah..indahnya peribadi seorang hamba-Mu yang benar-benar beriman dengan-Mu..Allah pernah berfirman dalam sebuah Hadis Qudsi..
“Seluruh langit dan bumi takkan mampu menampung-Ku, Namun hati seorang hamba yang beriman pasti dapat menampung-Ku”
..lihat betapa tinggi darjat seorang manusia yang beriman di sisi Allah, sungguh mulia. Patutlah kita dianjurkan supaya berguru dalam mendalami ilmu, kerana lebih banyak yang dapat kita pelajari dari akhlak seorang guru berbanding ilmu yang diajarnya. Akhlak yang ditonjolkan syeikh hanya melalui perbualannya membuat aku jatuh cinta sekali lagi dengan Islam. Aku tahu, Islamlah yang telah membentuk akhlak syeikh ini. Inilah hasilnya jika kita benar-benar mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang sebenar, jika kita menjadikan Al-Quran dan Sunnah itu sebagai pegangan hidup. Sepanjang wawancara bersama syeikh ini, banyak juga ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang dikongsi. Hairan sekali, kerana ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang dinyatakan sebenarnya sudah kutahu sebelum ini, tetapi bagaikan tiada dalam ingatanku sehinggalah syeikh menyebutnya semula. Jelaslah bahawa ilmu-ilmu ini tidak melekat pada diriku kerana tidak beramal dengannya.
‘Kecelakaan bagi orang yang tidak berilmu hanya satu kali sahaja, Sebaliknya kecelakaan bagi orang yang berilmu tetapi tidak beramal adalah sebanyak tujuh kali’ –Abu Darda’ r.a–
Ruginya begitu..Islam itu sungguh indah dan akan tetap kekal indah hingga akhirat kerana ini adalah agama yang benar, agama yang selamat, agama di sisi Allah. Maka seharusnya kita bersyukur dan benar-benar menghayati keislaman yang telah berada dalam diri kita.
Kehadiran syeikh dalam hidupku membuatku bertambah rindu dan terigin untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w..teringin sekali ingin ke makamnya..apatah lagi untuk bertemu dengan Baginda di telaga kauthar nanti.namun..layakkah diri ini??mampukah diri yang alpa,kerdil dan hina ini bertemu dengan kekasih Allah itu? Layakkah diri ini?? Tiba-tiba kurasakan pipiku basah lagi..mengengkan pertemuan di padang mahsyar nanti..namun menangis saja tak ada gunaya. Aku harus bertindak mengubah nasib diriku..Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri. Maka aku harus berubah!! Harus berusaha menjadi umat Nabi Muhammad yang mengikuti sunnahnya, menjadi hamba Allah yang bertakwa...kita semua pun perlu berubah, untuk menjadi lebih baik. Nabi pernah berpesan,
“Celakalah barang siapa yang hari ini lebih buruk dari semamlam, Rugilah barang siapa yang hari ini sama dengan hari semalam dan Beruntunglah barang siapa yang hari ini lebih baik dari semalam”
..maka fahamlah kita, umat Nabi Muhammad perlu sentiasa maju ke hadapan. Kita perlu sentiasa berusaha untuk membaiki keadaan hidup kita. Jangan terlalu mudah berasa selesa dengan keadaan dan amalan yang sudah ada kerana kita belum pasti sama ada segala apa yang kita ada sekarang akan menjadi bekalan kita di akhirat nanti. Nampak macam susah kan, kena selalu usaha, bila nak rehat? Maka pesanlah pada diri, dunia ni hanyalah sementara, seronok sementara, sedih pun sementara. Penat sementara, rehat pun sementara, yang kekal abadi hanyalah di akhirat nanti. Maka bersusah-susahlah dulu, semoga di akhirat nanti kita bersenang pula. Itulah Sunnatullah yang harus kita ikuti jika kita ingin berjaya di dunia dan di akhirat InsyAllah.
“..Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain), Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.” (Surah Al-Insyirah : 5-8)”